Sunday, July 29, 2007

ZAINI OZEA @ OJE

SEORANG SENIMAN DENGAN SERBA KEISTIMEWAAN


BABAK-BABAK PERKENALAN

Zaini Oje? Namanya mula saya dengar disebut-sebut pada awal tahun 70-an sebagai salah seorang graduan Universiti Malaya. Nama itu sering disebut Abang Nawawi Abdul Rahman, Ketua I Persatuan Bahasa dan Sastera atau PEBAS ketika itu. Kemudiannya nama itu ada sekali sekala disebut oleh Madzhi Johari apabila dia balik dari kampus Universiti Malaya ke pejabat RTM di Kuching.

Lepas itu saya membaca tulisannya dan laporan mengenainya dalam sisipan akhbar The Vanguard ketika beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sarawak di Sibu termasuk mengenai aktivitinya dengan Qias dan rakan-rakan teater dari Sibu.

Juga diperolehi maklumat daripada adiknya Joni Oje yang menulis puisi di bawah Joni Ozea Ghani. Joni ketika itu banyak memberi sumbangan dalam rancangan Ciptaanku terbitan RTM Sarawak, iaitu ruangan yang memuatkan puisi ciptaan baru oleh para penulis tempatan dan diulas sedikit oleh saya sebagai penerbit dan penyedia skripnya. Masih ada skrip-skripnya dalam simpanan saya.

Lepas itu saya bertemu dengannya sebagai salah seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka di Batu Lintang, Kuching.


PROJEK BERSAMA

Kemesraan dengan Zaini Oje dipupuk apabila sama-sama melaksanakan penerbitan antologi stensilan Sekalung Bunga Putih pada tahun 1981 yang Zaini Ozea menjadi penyusunnya. Sejak itu Zaini sering ditemui sebagai seorang pegawai DBP Sarawak yang disegani dalam acara-acara anjuran DBP.

Zaini semakin dikenali melalui Rumpun Seni Drama Sarawak (RUSDA) apabila Zaini menjadi pemimpinnya untuk beberapa tahun. Melalui RUSDA Zaini menampakkan ciri kepimpinan yang menarik dan kreatif dan sifatnya yang amat sayangkan akan kawan-kawan. Demikian rapatnya Zaini dengan ahli-ahli Jawatankuasa RUSDA sehingga pejabatnya di DBP sering didatangi oleh rakan-rakan dari RUSDA.

Melalui pelbagai projek seni dalam RUSDA, Angkatan Karya dan Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS) Zaini Ozea semakin dikenali termasuk dirinya sebagai seorang penyair romantis, seorang cerpenis dan seorang pelakon dan penari.

CIRI-CIRI MENARIK ZAINI OZEA

Zaini Ozea pernah dikatakan oleh rakan-rakan sebagai ahli neraka bukan ahli syurgapun bukan. Ini berpunca dari sikap Zaini yang amat suka tolong orang yang dalam kesusahan tidak kira siapa, sehingga pada masa yang sama kadangkala boleh menyebabkan dia mengenepikan temujanji dengan rakan-rakan.

Dalam satu peristiwa Zaini lambat datang ke mesyuarat sedangkan untuk membincang projek cukup besar dan rakan-rakan seperti Adi Badiozaman Tuah, Awang Bujang Hamdan, Mohd Esmawi Haji Husly, Achee Bujang dan ramai lagi sudah hadir dan Zaini menjadi pengerusi projek.

Setelah sekian lama barulah pengerusi muncul dan menceritakan yang dia sebenarnya keluar awal dari rumah untuk datang ke mesyuarat. Semasa melintas depan Hospital Umum Sarawak dia terlibat seorang ibu dengan anak masih dikendong dan ada entah seorang atau dua lagi dipegang tangannya oleh ibu berkenaan di stesen bas. Menurut ceritanya ibu dan anak-anak itu yang menunggu bas untuk ke pusat bandar setelah mengunjungi bapa budak-budak itu di hospital. Zaini bersusah payah menghantar ibu dan anak-anak itu ke bandar sehingga lambat sampai ke mesyuarat. Peristiwa dia menolong orang kesusahan sehingga temujanji tidak ditepati bukan sekali dua – cukup kerap.

SENIMAN MALU-MALU

Zaini Ozea, walaupun seorang yang kreatif dan selalu menjadi sumber idea terutama yang kreatif jarang sekali mengaku sesuatu idea itu asli daripadanya. Walaupun semua rakan tahu skrip drama ‘Tugau’ itu ditulis oleh Zaini setelah melakukan penyelidikan bersama Esmawi dan Achee dibimbing oleh Glen Walford, sampai sekarang Zaini masih mengatakan Tugas itu hasil bersama dia, Glen dan Esmawi.

Begitu juga dalam persembahan teater Zaini banyak memperkenalkan konsep pementasan dan lakonan baru Zaini enggan mengambil kredit sebagai orang yang memperkenalkan konsep itu.

Entah munfgkin kerana semacam kurang yakin dengan kualiti dan idea sendiri atau ada sebab lain banyak karya Zaini belum dikumpul dan Zaini tidak mempunyai salinan naskhah karya-karyanya selengkap yang dilakukan oleh Jais Sahok dengan karya-karyanya. Apabila GPPS cuba menerbitkan sebuah antologi dramanya dan puisinya kulit bukunya awal-awal sudah disediakan rekabentuk dan rekaseninya, namun isinya sampai hari ini belum ada.


DEKLAMASI PUISI MENARIK

Dengan latar belakang teater, tarian dan seni bahasa yang mantap Zaini juga boleh menyampaikan dekon dan deklamasi dengan baik dan sudah terbukti beberapa kali kemampuannya. Dalam satu majlis jamuan makan malam di Dewan Santapan bangunan Dewan Undangan Negeri, Zaini Ozea ditugaskan mendeklamasikan sebuah puisinya sedang sebelumnya dewan riuh dengan persembahan nyanyian dan tarian yang hebat dan penuh warna-warni. Zaini berjaya menyebabkan para hadirin termasuk Yang di-Pertua Negeri berhenti makan dan diam seakan-akan terpukau sepanjang deklamasinya dan membneri tepukan gemuruh setamat sahaja persembahannya.


GUNTUR GURUH ERANG GENDERANG

Semasa Pelancaran Rakan Muda Seni Budaya Peringkat Kebangsaan di Stadium Negeri di hadapan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan saya menjadi pembaca ikrarnya Zaini ditugaskan membaca sebuah sajaknya dan kalau tidak silap sajaknya Gedung-Gedung Gadang-Gadang yang penuh dengan unsur onomatopeia.

Saya dengan pakaian tradisional lengkap dengan tanjak berdiri di tengah-tengah stadium bersama kira-kira 500 anak seni mengadakan persembahan sempena pelancaran itu untuk menghormati deklamasinya di bawah langit yang agak redup.

Sebaik sahaja Zaini mendeklamasi puisinya pada baris kedua atau ketiga kedengaran guruh cukup gagah dan bunyi daripada alam seakan-akan serana latar untuk sajak Zaini dan setelah deklamasinya berakhir hujan mula turun dan menjadi cukup lebat walaupun kami di tengah-tengah stadium terus berdiri tegak di bawah cucuran hujan, kilat dan guntur sabung menyabung.

PERSAHABATAN

Zaini memang cukup rapat dengan rakan-rakan dan sahabat handainya dan kami berlima termasuk Adi Badiozaman Tuah, Awang Bujang Hamdan Mohd Esmawi Haji Husly sering hadir bersama sebagai wakil baik RUSDA, GPPS atau Majlis Teater Negeri. Dia amat rapat dengan Adi Badiozaman Tuah malah memanggil satu sama lain sebagai ‘nong’. Dalam RUSDA orang yang amat rapat dengannya selain Mohd Esmawi ialah Mohd Achee Bujang dan Mohd Wilfred Abdullah.

Semasa bertugas di Kuala Lumpur Zaini sanggup bersusah payah mencari rakan-rakan dari Sarawak yang kebetulan datang sehingga ada rakan-rakan tidak mahu memberitahu takut menganggu kerjanya dan hanya muncul sendiri di hadapannya di pejabat. Malah ada rakan menceritakan Zaini sanggup mencari mereka sehingga jam tiga empat pagi. Sehingga demikian usaha Zaini melayan rakan-rakan saya sempat beberapa kali singgah rumah sewanya di Cheras.

KESENIMANAN ZAINI

Zaini Ozea@Oje boleh dikatakan seorang seniman yang lengkap pakejnya sebagai seniman. Dia boleh menghasilkan skrip, boleh mementaskannya termasuk menjadi pelakon dan kareografer atau penarinya.

Semasa bertugas sebagai Pengarah DBP Sabah, rakan-rakan seniman di sana cukup menyenangi kehadirannya dan banyak sekali usahanya untuk memperkembangkan seni di atas landasan DBP.

Malah pernah Zaini mengetuai rombongan penulis dari Sabah untuk mengadakan kunjung ke Sarawak, termasuk ke Sibu untuk mewujudkan ikatan kerjasama di kalangan seniman.

Kini sudah tiba masanya Zaini memperhalusi usaha pendokumentasian kerjayanya sebagai seniman dan mengesan kembali segala karya dan manuskripnya agar tidak lenyap begitu sahaja dari persada seni negara.



SAIEE DRISS
55-5-10 Apartmen Pantai Indah, Jalan Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur.
25 Mei 2007

No comments: